Wednesday, April 23, 2008

Mengerjakan Haji - Bahagian 10 (Hari Ke 7 dan Ke 8)

Khamis 22 November 2007

Tidak ada apa-apa yang berlaku dihari ini, cuma semasa mengambil wuduk waktu solat Zuhur atau Asar di Masjid Nabawi berlaku satu kekecohan dimana seorang warga India agaknya menuduh seorang Afrika cuba mencuri. Saya tidak menanya hal seterusnya.

Inilah gambar bilik hotel kami. Yang duduk itu ialah Hj. Jamil, seorang pesara Polis yang tinggal di Alor Gajah, Melaka. Saya dan Salmah ada berkunjung ke rumahnya baru-baru ini tetapi hanya dapat berjumpa dengan isterinya kerana beliau pergi ke kampungnya di Pasir Panjang, Port Dickson. Padanlah ia bercakap pekat seperti orang Melaka kerana orang Pasir Panjang memang bercakap begitu. Katil saya ialah yang di sebelah TV itu. Rancagan TV yang dapat saya fahami ialah CNN dan Al Jazeera. Agaknya kerana kawan-kawan saya tidak faham berbahasa Inggeris mereka tidak minat langsung untuk mengikuti apa-apa rancangan TV.

Ini pula pandangan di lobi Hotel Al Haram, Madinah. Disinilah di mana saya dan Salmah membuat panggilan telefon kepada anak-anak di Malaysia.

Saya ada membawa satu kad I-Talk dari Telekom Malaysia (TM). Rupa-rupanya TM juga ada menyediakan kaunter menjual kad I-Talk di Madinah dan Makkah. Panggilan menggunakan I-Talk jauh lebih murah dari menggunakan telefon bimbit yang diisikan dengan Kad SIM Saudi.

Ramai juga jemaah Malaysia membawa telefon bimbit ke sini. Tujuan utama supaya suami isteri yang sama-sama mengerjakan Haji dapat berhubung di antara satu sama lain. Tetapi bagi saya ini karut kerana suami boleh berhubung dengan isteri menggunakan telefon hotel di bilik masing-masing. Bila keluar dari hotel untuk kemana-mana pula kami sentiasa bersama.

Pos Malaysia juga menyediakan kemudahan menghantar pakej dari Saudi ke Malaysia. Kami menggunakan kemudahan ini kerana kosnya lebih murah dari membawa sendiri semasa balik dan terpaksa membayar caj bagasi lebihan.

Jumaat 23 November 2007

Oleh kerana pesawat kami terlewat 70 minit di hari ketibaan pada Hari Jumaat minggu sebelumnya hari ini merupakan kali pertama saya bersolat Jumaat di bumi Saudi. Masjid Nabawi penuh oleh kerana jemaahnya bukan sahaja jemaah Haji biasa tetapi juga penduduk tempatan. Sudah tentulah Khutbah Jumaat dibaca dalam Bahasa Arab.

Selepas Isya' kami mendengar Ceramah Kedua mengenai Ibadat Haji dan juga persediaan untuk bertolak ke Makkatul Mukarramah di hari esoknya.


Saya berada dalam sebuah kedai yang terdapat di Tingkat 1 hotel




Inilah pekerja kedai ini. Agaknya dia berbangsa India. Dia jugalah yang mengambil gambar saya di atas.

Bersambung ke Bahagian Kesebelas....

No comments: