Friday, April 25, 2008

Mengerjakan Haji - Bahagian 12 (Hari ke 11)

Isnin 26 November 2007

Hotel saya, Durrat Al Quds terletak lebih kurang 800 meter di bahagian timur Masjidil Haram. Hotel ini digabungkan dengan Hotel Elaf Al Suds yang terletak sebelahnya sebagai Maktab 96 Tabung Haji Malaysia. Pejabat Tabung Haji untuk Maktab ini terletak di Elaf Al Suds. Di sanalah saya dan Salmah mengeluarkan wang Tabung Haji apabila kami memerlukannya. Tiap-tiap hotel mempunyai Klinik Tabung Haji sendiri dan Klinik hotel saya terletak di Tingkat 2.

Kebanyakan jemaah Haji Malaysia di letakkan di bahagian barat Masjidil Haram. Ini menyebabkan kami dari Maktab 96 terasing dari mereka.


Pandangan hadapan Hotel Durrat Al Quds

Kedudukan hotel saya dibandingkan dengan Masjidil Haram

Kawan-kawan sebilik saya di Makkah tidaklah sama dengan yang di Madinah. Situasi yang sama juga dialami oleh Salmah. Ini mungkin terjadi kerana kami berdua diselitkan oleh Tabung Haji ke KT ini di saat-saat akhir. Kawan-kawan saya adalah seperti berikut :

1. Hj. Baharudin, seorang bekas tentera menetap di Muar, Johor. Beliau berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, oleh itu sekurang-kurangnya ia menjadi 'oghang kito' bagi saya. Di Madinah dan Makkah beliau digelar Mr. Smart oleh kawan-kawan yang lain oleh kerana beliau sering perpakaian segak. Ini merupakan kali kedua beliau mengerjakan Haji. Beliau datang seorang diri kali ini setelah mengerjakan Haji sebelum ini dengan isterinya.

2. Hj. Masjuki dari Pagoh, Muar, Johor seorang kontraktor. Beliau juga mengerjakan Haji buat kali kedua. Terus terang beliau menyatakan mempunyai dua isteri. Kali pertama dulu mengerjakan Haji dengan isteri pertama dan kali ini dengan isteri kedua pula.

3. Hj. Osman dari Alor Setar, Kedah dan dipanggil Pak Ngah oleh kawan-kawannya. Beliau merupakan yang tertua antara kami, berumur 70an dan sering tidak sihat. Mengikut Pak Ali (di bawah) Pak Ngah mempunyai banyak harta berbentuk bendang sawah di Kedah. Seperti saya beliau datang ke sini bersama isterinya yang saya panggil Mak Ngah yang cukup penyabar orangnya. Pak Ngah di bawa ke Arafah untuk mengerjakan Wukuf bersama dengan Pasukan Perubatan Tabung Haji kerana masalah kesihatannya. Walau bagaimana pun Pak Ngah dapat mengerjakan semua ibadat Haji dengan sempurna.

4. Hj. Razali dari Alor Setar, Kedah dan dipanggil Pak Ali. Beliau seorang tukang kebun atau pekerja am sekolah. Beliaulah yang paling aktif diantara kami, sering mengerjakan Umrah Sunat dan beliaulah yang menjaga Pak Ngah yang kurang sihat itu. Pak Ali juga bersama isteri mengerjakan Haji.

Pak Ngah, Pak Ali dan isteri masing-masing adalah dalam satu kumpulan dari Kedah yang diketuai oleh seorang guru bernama Hj. Ahmad Fuad yang telah mengerjakan Haji beberapa kali.

Saya masih ingat di hari pertama di Makkah, Pak Ngah tidak bangun-bangun dan ini juga merisaukan saya. Isterinya Mak Ngah datang dan cuba mengurut Pak Ngah. Pak Ngah marah-marah kerana isterinya memasuki bilik lelaki (sebenarnya kami yang lain tak kisah).

Beberapa minggu kemudian Pak Ngah jatuh sakit lagi dan pada satu malam beliau telah memasuki bilik isterinya pula dan terus berbaring di situ. Isteri Pak Ali yang tinggal sebilik dengan Mak Ngah datang mencari Pak Ali (yang telah pergi ke Masjid) kerana dijangkakan tidak menjaga Pak Ngah.

Terus terang saya katakan kawan-kawan saya di Makkah ini lebih sesuai untuk saya dari yang di Madinah dulu. Keadaan Pak Ngah yang uzur juga seolah-olah merapatkan kami berempat supaya sama-sama bertanggungjawab terhadapnya.

Ini berlainan dengan nasib Salmah. Kawan-kawannya ialah empat orang dari Kelantan dan seorang dari Kedah. Mengikutnya kawan-kawannya di Madinah dulu lebih sesuai untuknya. Di Makkah ini dua cuma berkawan dengan Zainab dari Kedah itu.

Sekarang setelah balik ke Malaysia saya dan Salmah sedar itulah sebenarnya cubaan bagi kami. Walau pun Salmah mula-mulanya 'tidak ngam' dengan rakan-rakan Kelantannya, di Terminal Haji Jeddah semasa nak balik Salmah saya lihat berpelukan dengan mereka. Pak Ngah yang pada awalnya kurang sihat, semasa nak balik cukup sihat nampaknya.

Semasa nak tidur malam tadi saya rasa kurang sihat, tetapi bila bangun pagi ini rasa OK pula. Saya terus ke Tingkat 1 Masjidil Haram dan mendapati banyak ruang yang kosong dibanding dengan Tingkat Bawah. Semasa keluar dari Masjid saya dapati ada jemaah yang sembahyang di tangga dan ramai juga juga yang sembahyang di luar Masjid. Jelaslah mereka tidak sedar banyak lagi ruang kosong di tingkat-tingkat atas.

Di hari ini juga saya membayar Dam Haji Tamattu' di pejabat Tabung Haji Maktab. Semasa hendak bersolat Maghrib saya dan Salmah menggunakan terowong untuk pergi ke Masjid. Di tepi Masjid kami di tahan bersama jemaah-jemaah lain oleh kerana terdapat kerja-kerja pembaikan Masjid dimana sebuah kren sedang mengangkat bahan-bahan binaan ke atas Masjid.

Apabila Azan dilaungkan baharulah kami dilepaskan kerana semua kerja-kerja dihentikan sementara kerana pekerja-pekerja juga wajib bersolat.

Selepas Isaya' kami mendengar satu ceramah oleh seorang Ustazah yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.




Ajip dan saya yang botak.

Di hari ini juga saya dilawati oleh sepupu saya Hj. Razif Yaakub, seorang pegawai Tabung Haji yang bertugas di Kelang, Selangor. Dia ialah antara beratus kakitangan Tabung Haji yang diterbangkan ke Madinah dan Makkah untuk menguruskan kerja-kerja Haji jemaah Malaysia untuk tahun ini. 'Ajip' jugalah yang banyak menolong saya dan Salmah supaya nama-nama kami tersenarai dalam jemaah Haji pada tahun ini.

Bersambung ke Bahagian 13....

No comments: