Tuesday, April 22, 2008

Mengerjakan Haji - Bahagian 8 (Hari Keempat)

Isnin 19 November 2007

Di hari keempat ini kami dibawa menziarahi Makam Baginda Nabi Muhammad dan dua sahabatnya dan melawat kawasan Raudah, Masjid Nabawi. Kami berarak berkumpulan dengan diketuai oleh seorang Mutawif dan beberapa pegawai Tabung Haji. Seram rasanya bila melihat Makam Rasulullah sambil mengenangkan Baginda telah menjadi Ketua yang diikuti oleh berjuta-juta Umat dunia. Saya tidak dapat mengambil gambar di dalam Masjid Nabawi dan Makam Nabi Muhammad kerana masih takut kamera akan dirampas. Selepas itu kami melawat makam penjuang-penjuang Islam yang terletak di sebelah Masjid tersebut.



Polis Saudi mengiringi beberapa VVIP yang juga melawat Makam Nabi Muhammad.



Di bawah kubah hijau itulah terletaknya Makam Nabi Muhammad dan dua sahabatnya.


Papan Kenyataan di Makam Penjuang Islam ini mempunyai empat Bahasa iaitu : Arab, Turki, Inggeris dan Melayu (Indonesia).



Semasa pulang ke hotel saya terserempak dengan jemaah dari Indonesia ini. Pakaian seragam mereka sebenarnya membezakan syarikat pelancongan yang membawa mereka ke sini.


Bangunan berwarna putih satu tingkat di belakang jemaah Indonesia itu ialah tandas dan tempat berwuduk. Ramai pengunjung pertama kali datang ke Masjid ini termasuk saya tidak tahu pada mulanya. Maklumlah di Malaysia ini tempat berwuduk biasanya dicantumkan dengan bangunan utama Masjid. Bangunan-bangunan ini juga hanya ditulis 'Male Toilet' atau 'Female Toilet' selain Bahasa Arab. Tidak ada ditulis perkataan 'ablution' yang bermaksud wuduk.

'Toilets' ini pula terletak lebih kurang 30 meter di luar Masjid. Dari kedudukan ini saya fahamlah mengapa kita disunatkan berwuduk dari rumah (atau hotel) lagi. Jika kita mengambil wuduk di luar Masjid ini dan tidak mengeringkan air sembahyang, angin sejuk yang tidak kurang lajunya akan menyebabkan air itu mencengkam kulit kita sehingga terasa ke tulang. Jika kita mengambil wuduk dirumah atau hotel sudah tentu air sembahyang sudah kering apabila kita keluar rumah atau hotel.

Dari hari ke hari Kota Madinah bertambah ramai jemaahnya. Masih belum nampak jemaah yang memakai Ihram. Oleh itu saya menganggap belum ada lagi jemaah yang berpindah ke Makkah. 

Hotel kami juga menghadapi masalah kerana bertambahnya jemaah Malaysia. Oleh itu sistem lif telah diubah. Sebahagian dari lif-lif dikhaskan untuk Tingkat 1 ke 10 dan dan sebahagan lain untuk Tingkat 11 ke atas. Saya lupa pula untuk mendapat tahu berapa tingkat sebenarnya hotel Al Haram Madinah ini.

Nampaknya Saudi Arabia mengikut Amerika Syarikat dan Jepun untuk menamakan tingkat-tingkat bangunan tidak seperti Malaysia yang mengikuti sistem British. Oleh itu Tingkat G (Ground) atau Bawah untuk Malaysia dikenali sebagai Tingkat 1 di Saudi, USA dan Jepun.

Bersambung ke Bahagian 9...

No comments: