Thursday, April 24, 2008

Mengerjakan Haji - Bahagian 11 (Hari Ke 9 dan ke 10)

Sabtu 24 November 2007 - Bertolak ke Makkah

Selepas bersenang-senang selama 8 hari di Madinah tibalah masanya untuk kami berpindah ke Makkah untuk menunaikan perkara-perkara Rukun dan Wajib Haji kami.

1500: Mandi sunat Ihram dan terus memakai Ihram dan sembahyang sunat Ihram. Selepas solat Asar turun ke lobi hotel dengan membawa beg kecil pemberian Tabung Haji yang berisi sedikit pakaian dan keperluan lain. Beg besar ditinggalkan diluar bilik hotel.

1600: Menaiki bas No. 2 sambil pekerja-pekerja syarikat bas menaikkan beg-beg besar ke atas bas. Pihak hotel juga membekalkan kami sedikit makanan dan minuman.

1715: Bas mula bergerak menuju ke Makkah. Bas berhenti di Majid Bir Ali untuk kami bersolat Maghrib dan berniat Ihram.

Lebih kurang jam 2200 bas berhenti di satu kawasan lapang di padang pasir di mana terdapat sebuah restoran, surau dan tandas. Tandasnya teramatlah kotor tetapi saya dapat juga mengambil wuduk.

Bas berhenti selama satu jam disini sedangkan tidak ada jemaah yang turun untuk makan kerana sudah menerima bekalan makanan dari pihak hotel. Saya perhatikan pemandu mundar mandir sahaja di kawasan tersebut. Semasa di Madinah kami telah membuat pungutan satu Rial seorang untuk diberikan kepada beliau. Adakah pemandu ini sengaja membiarkan kami menanti kerana tidak mendapat bayaran yang mencukupi?

Allah sahaja yang tahu.


Ahad 25 November 2007

0200: Setelah melalui check point yang di kawal oleh tentera Saudi kami pun sampai ke hotel iaitu Hotel Durrat Al Quds. Walau pun bas kami ialah bas No. 2 ia sampai ke hotel ini penghabisan sekali. Ini mungkin disebabkan oleh kerenah pemandu bas seperti di atas. Mengikut notis yang ditampal di Tingkat 1 hotel satu taklimat akan diberikan oleh Tabung Haji pada jam 0700.

Saya terus ke bilik saya no. 901 di Tingkat 9 dan mendapati kawan-kawan saya sudah tidur semuanya. Ini bemaksa mereka telah sampai awal lagi. Salmah ditempatkan di bilik No. 902. Saya tidak dapat tidur dan terus ke surau di Tingkat M (Mezzanine).

0515: Bersolat Subuh berjemaah di surau. Sebelum solat Guru Agama yang menjadi Imam menyatakan taklimat akan diberi selepas sahaja solat Subuh ini. Saya terus mengejutkan Salmah yang sedang tidur supaya datang ke surau untuk solat berjemaah seterusnya mendengar taklimat.

Taklimat diberi oleh Pengurus Maktab dan Guru Agama Ustaz Ali dan berakhir pada jam 0645. Ramai yang tidak mendengar taklimat ini oleh kerana menjangkakan ia diberi pada jam 0700 mengikut notis di Tingkat 1.

Saya fikir ini ialah satu cubaan untuk para jemaah. Memang benar jadual ceramah ditulis sebagai jam 0700. Tetapi bukankah kita diminta bersolat berjemaah? Oleh itu siapa yang bersolat jemaah sahaja akan tahu mengenai perubahan jadual taklimat ini.

0745: Kami berkumpul di hadapan hotel untuk berarak ke Masjidil Haram untuk mengerjakan Umrah. Kami masuk ke Masjid melalui pintu utama iaitu pintu King Aziz .

0815: Kami mula mengerjakan Tawaf diketuai oleh seorang Mutawif Arab. Bagi saya ini satu pengalaman yang tidak boleh dibandingkan dengan apa-apa perbuatan yang saya lakukan selama ini. Saya kepit Salmah setiap masa supaya kami tidak terpisah. Apabila balik ke Malaysia saya terdengar Salmah ada menyebut "Saya diheret oleh suami". Saya juga pastikan kami berada tidak berapa jauh dari Mutawif.

Selesai sahaja Tawaf kami mengerjakan Saie pula, juga tidak boleh diceritakan seronoknya. Di Bukit Safa dan Marwah terdapat sedikit kesesakan. Saya juga mengepit Salmah dan memastikan kami berada tidak jauh dari Mutawif.

Selesai sahaja Saie dan bergunting kami keluar di pintu Marwah. Di situ terdapat deretan kedai gunting rambut. Saya pun terus masuk ke dalam satu kedai gunting dan kepala saya dicukur sehingga botak.

Kedai Gunting (sepatutnya Barber Shop)

Setelah selesai Umrah saya pun balik ke bilik hotel dan terus tidur kerana kekurangan tidur di malam sebelumnya. Saya bersolat Zuhur dan Asar di surau hotel sahaja.

Saya bersama-sama Salmah bersolat Maghrib dan Isya' di Masjidil Haram. Sementara menunggu Isya' saya tertidur di dalam Masjid dan rasa kurang sihat. Semasa hendak balik saya dapati selipar saya tidak ada di tempat di mana saya letakkan pada awalnya iaitu di atas satu dinding. Rupa-rupanya ada hamba Allah yang meletakkannya di tempat selipar di dalam Masjid. Tidak hilang rupanya.

Salmah juga memberitahu empat dari kawan-kawan biliknya tidak mengerjakan Saie setelah Tawaf pagi tadi kerana mereka ditinggalkan oleh kumpulan. Mereka terpaksa membayar Dam. Bagi saya membayar Dam tidak sama dengan megerjakan ibadat itu sendiri.

Bersambung ke Bahagian 12....

No comments: