Akhirnya kami mendarat di Madinah atau nama panjangnya Madinatul Munawwarah tepat pada jam 1126 waktu tempatan 16 November 2007 atau 1726 waktu Malaysia. Pesawat ialah Boeing 747-368 dengan nombor pendaftaran HZ-AIM. Inilah pertama kali saya menaiki pesawat B 747.
Saya mula berminat untul meneliti nombor pendaftaran kapal terbang sejak menyertai forum Malaysianwings. Cuba lihat gambar diatas, ia mempunyai tanda hitam atau 'black spot' di sudut-sudut bawah kiri dan kanan atas. Ini disebabkan saya cuba untuk menjimatkan bateri kamera, oleh itu saya padamkan 'digital viewfinder' di belakang kamera dan menggunakan 'eye viewfinder' tanpa menyedari mata kamera cuma setengah terbuka. Tapi sekurang-kurangnya ia menampakkan kapal terbang dengan jelas.
Turun dengan tangga sebab lapangan terbang tidak ada 'aerobridge'
HZ-AIM. Saya sebenarnya pernah mengambil gambar pesawat yang membawa saya ke Madinah. Inilah gambar pesawat tersebut yang saya ambil dari Pusat Meteorologi KLIA pada tahun 2006.
Lapangan Terbang Madinah ini tidak mempunyai 'aerobridge' oleh itu kami turun menggunakan tangga dan berjalan kaki lebih kurang 200 meter ke Terminal. Dari forum Malaysianwings juga saya diberitahu Penerbangan Malaysia (MAS) merupakan syarikat penerbangan bukan Saudi yang paling banyak dibenarkan menurun Jemaah Haji di Madinah. Ini merupakan penghargaan kepada Malaysia melaui Tabung Haji.
Jemaah Haji dari seluruh dunia juga diturunkan di Jeddah dan menaikki bas ke Madinah. Dalam hal ini kami boleh dikatakan bernasib baik. Saya berjumpa dengan seorang Jemaah Haji Malaysia di Madinah dan beliau memberitahu diturunkan di Jeddah, kemudian menunggu bas berjam-jam. Kemudian berjam-jam pula menaikki bas ke Madinah.
Perkara pertama yang saya rasai apabila turun ialah angin sejuknya walau pun waktu hampir tengah hari. Di terminal saya terasa bimbang sebentar apabila pegawai imigresen di kaunter mengarahkan saya menunggu setelah memeriksa passport saya. Setelah beliau melepaskan jemaah-jemaah lain barulah dia memanggil saya kembali. Dia hanya melepaskan saya setelah memasukkan beberapa maklumat ke dalam komputernya.
Saya fikir masalah ini timbul ekoran saya dan isteri cuma dimasukkan kedalam senarai KT-17 ini dalam saat-saat akhir, oleh itu data kami mungkin belum terdapat dalam komputer Imigresen Saudi. Salmah memberitahu kemudian beliau pun mengalami masalah yang sama.
Setelah pemeriksaan imigresen dan sedikit 'body check' kami pun diarahkan menaikki bas. Semasa menunggu bagasi dinaikkan ke atas bumbung bas Azan Zuhur terdengar melalui radio yang dibunyikan dalam bas. Ini juga bermakna kami tidak dapat menunaikan Fardhu Jumaat kali pertama di Masjid Nabawi disebabkan pesawat lewat 70 minit. Bonusnya ialah kami dapat mendengar Khutbah Jumaat melalui radio walau pun dalam Bahasa Arab yang kami tidak faham.
Pandangan dari dalam bas
Gambar di atas menunjukkan para jemaah yang baru sahaja keluar dari Masjid Nabawi selepas menunaikan Fardhu Jumaat di Masjid Nabawi. Kami hanya dapat menunaikan Fardhu Zuhur di bilik hotel.
Kami masuk ke Hotel Al Haram lebih kurang jam 1400. Saya diletakkan di bilik 1309 dan Salmah di bilik 1310 dan bilik-bilik kami berhadapan. Kami berdualah yang mula-mula memasuki bilik-bilik kami, terima kasih kepada kecekapan pemandu bas kami.
Kami berdua diselitkan dalam KT-17 oleh Tabung Haji atas rayuan dan lobi kami. Semasa di Kelana Jaya saya sudah terbaca siapakah ahli-ahli kumpulan kami dari tulisan di bagasi dan juga loghat bahasa jemaah. Di Madinah jelaslah siapa kawan-kawan kami.

Kumpulan kami ini terdiri dari jemaah dari Johor Utara, Melaka, Kedah, Kelantan dan beberapa kerat dari Selangor dan Kuala Lumpur. Jemaah dari Johor Selatan bertolak dari Lapangan Terbang Senai, Johor sementara yang dari Johor Utara seperti Batu Pahat dan Muar bertolak dari KLIA. Yang jelas lagi KT kami yang berjumlah lebih kurang 415 jemaah hanya mempunya 4 jemaah dari Negeri Sembilan iaitu saya, Salmah dan satu pasangan suami isteri Mamak dari Tampin.
Bilik saya dikongsi 5 penghuni iaitu: 1. En. Ahmad Shah seorang pekerja Syarikat Bekalan Air Melaka, 2. En. Jamil, seorang pesara Polis dari Alor Gajah, Melaka, 3. En. Mohamad, seorang Mamak bekas pengusaha gerai makanan di Tampin, 4. En. Suratman, seorang penoreh getah dari Batu Pahat dan saya. Untuk kesenangan isteri-isteri kami diletakkan sebilik juga.
Saya memulakan solat di Masjid Nabawi dengan menunaikan Fardhu Asar, itu pun di hadapan pintu oleh kerana Masjid tidak boleh dimasuki lagi. Bukan penuh, tetapi para jemaah yang datang lewat tidak mahu pergi ke ruang hadapan. Ini memaksa jemaah yang datang lagi lewat solat di luar. Situasi yang sama berlaku juga di Masjidil Haram, Makkatul Mukarramah.
Semasa solat Maghrib di Nabawi saya rasa nak pitam. Memang menjadi kebiasaan apabila hendak berjalan jauh saya kurang dapat tidur di malam sebelumnya. Ini menyebabkan saya tidak rasa selesa di hari berikutnya. Setelah sesai solat Maghrib saya terus balik ke Hotel dan terus tidur.
Kebanyakan jemaah yang lain meunggu sehingga selesai solat Isya' Saya terbangun terdengar bunyi bising apabila kawan-kawan yang lain balik dari Masjid selepas solat Isya' mereka. Saya menunaikan solat Isya' di bilik hotel sahaja.
Di hari pertama ini juga saya bertemu dengan sahabat lama saya Haji Muslar yang bertugas di Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan. Di Madinah ini beliau bertugas sebagai seorang Guru Agama Lembaga Tabung Haji.
Bersambung ke Bahagian 6......

No comments:
Post a Comment