Wednesday, April 16, 2008

Mengerjakan Haji - Bahagian 3

Saya pernah diberi tahu barang yang paling berharga boleh dibawa balik selepas kita mengembara di dalam atau luar negeri ialah gambar. Barang-barang lain seperti cenderamata senang didapati di negara kita sendiri. Gambar pula tidak lengkap jika tidak ada penjelasan mengenainya.

Oleh itu saya sudah bercadang awal-awal lagi untuk membawa kamera ke tanah suci walau pun ada pihak yang mengatakan pihak Saudi akan merampas kamera atau telefon bimbit berkamera.

OK, gambar sudah ada, nota pun sudah ada, jadi dimana hendak saya bukukan?

Oleh kerana sekarang ini blog merupakan satu perkara yang sering disebut-sebut mengapa tidak saya mendokumenkan pengalaman saya mengerjakan Haji dalam blog? Oleh itu saya pun membuka blog dan pos pertama saya ialah mengenai Haji saya.


Gambar-gambar di atas dan seterusnya diambil di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Gambar di atas menunjukkan saya dikelilingi kaum keluarga saya. Cucu-cucu saya yang tiga budak lelaki itu seperti tidak tahu apa yang berlaku di keliling mereka. Mereka juga tidak tahu kemana datuk dan nenek mereka akan pergi dan untuk tujuan apa. One day they will know.



Gambar di atas pula diambil setelah kami meninggalkan ahli keluarga tidak sedikit dengan tangisan. Kami diberi passport Haji beserta boarding pass kapalterbang Bagasi kami kemudian di x-ray dan ditimbang.



Selepas itu kami berpindah ke dewan besar Kompleks ini untuk menerima taklimat terakhir di tanah air (gambar di atas).

Walau bagaimana pun pegawai-pegawai yang memberi taklimat turut serta ke KLIA dan disana juga taklimat terus diberikan. Ini lah saat-saat yang menyedihkan saya setelah berpisah dengan anak-anak dan kaum keluarga lain.

Saya masih ingat semasa saya ke Jepun hampir empat tahun yang lalu saya mengalirkan air mata semasa saya menyerahkan passport saya kepada pihak Imigresen setelah mengucapkan selamat tinggal kepada ahli-ahli keluarga. Cuma semasa hendak ke lapangan terbang untuk ke tanah suci ini saya tidaklah sedih sangat oleh kerana isteri saya senantiasa berada di samping saya.

Tindakan kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji mendirikan Kompleks Haji Kelana Jaya patut dipuji. Saya ingat dulu semasa menghantar arwah ayah mertua mengerjakan Haji pada tahun 1976 kalau tak salah di Lapangan Terbang Subang. Dewan Pelepasan dipenuhi oleh saudara mara menghantar Jemaah Haji. Ada yang membentang tikar dan sebagainnya sambil dilihat oleh penumpang-penumpang yang menggunakan lapangan terbang tersebut termasuk orang luar negara.

Walau bagaimana pun sistem perjalanan jemaah di Kompleks Haji ini boleh diperbaiki lagi. Sebagai contoh nampaknya pegawai-pegawai Tabung Haji, Syarikat Penerbangan, Kastam dan lain-lain seolah-olah memikirkan kelicinan kerja mereka sambil tidak memikirkan kesusahan jemaah dan juga kaum keluarga. Dalam lain perkataan sistem mereka tidak keseluruhannya mesra pelanggan atau 'user friendly'.

Setiap kumpulan jemaah atau KT diberi jadual waktu yang ketat. Jarak masa 'check-in' sehingga menaiki bas ke KLIA terlalu singkat. Mengapa tidak kaunter 'check-in' dibuka lebih awal seperti di lapangan terbang. Dengan cara ini jemaah yang datang awal boleh berehat dalam kompleks tersebut sebelum masuk ke dewan taklimat. Bukankah Kompleks Haji ini berfungsi sebagai lapangan terbang juga. Saudara mara juga boleh dibenarkan pulang awal. Ini tidak, ada jemaah yang menunggu di luar pagar 'check-in' berjam-jam lamanya. Kalau tak ada bagasi tak apa juga.

Bersambunga di Bahagian 4...

No comments: