Friday, October 3, 2008

Mana jemaah lain?


Gambar di atas saya ambil dalam Masjid India Muslim Ulu Temiang, Seremban semasa solat Jumaat 3 Oktober 2008 bersamaan 3 Syawal 1429. Saya ambil gambar itu menggunakan kamera telefon bimbit saya dengan mematikan flash supaya tidak mengganggu imam yang sedang membaca khutbah.

Saya fikir situasinya agak sama dengan masjid-masjid seluruh negara. Umat Islam di negara ini baharu sahaja ke masjid-masjid seluruh negara untuk solat sunat Hari Raya Aidilfitri pada dua hari yang lepas. Sudah tentu masjid-masjid terutama di kampung-kampung penuh sesak. Saya diberitahu ada yang sampai berembahyang di atas jalan.

Tetapi mengapa semasa solat wajib Jumaat cuma dua hari selepas Hari Raya situasinya amat berubah? Jika diambil kira solat sunat Hari Raya juga mengandungi jemaah perempuan masih lagi ramai jemaah lelaki yang asalnya bersembahyang Raya tidak bersembahyang Jumaat.
Kita pernah mengalami di mana Hari Raya baik Aidilfitri atau Aidiladha jatuh pada hari Jumaat. Sampaikan ada imam semasa Khutbah Raya mengingatkan jemaah lelaki supaya datang semula untuk solat Jumaat. Berapa peratus yang akur kepada permintaan imam tadi? Kalau enam puluh peratus sudah cukup baik.
Ini mengingatkan saya pernah terbaca kenyataan berikut :
  1. Ada orang sembahyang lima kali sehari
  2. Ada juga orang yang sembahyang hanya sekali dalam seminggu
  3. Ada pula yang sembahyang sekali atau dua kali dalam setahun

Dalam golongan manakah kita?

2 comments:

Mohd Shah Khalid said...

Brother Maarof,
Pengalaman saya sembahyang raya* baru ini agak berlainan. Saya dapati ramai jemaah dari Africa kali ini. Mereka memakai pakaian kebangsaan masing masing.Melihat kelakuan mereka kita boleh teka yang mereka ini baru berada disini. Wajah mereka membayangkan yang mereka juga menyambut hari raya dengan penoh gembira kerana dapat bertemu rakan. Mereka keluar dari mesjid sebaik sahaja khatib membaca khutbah raya mungkin kerana tidak faham apa yang dikhutbahkan atau sememangnya sudah menjadi kebiasaan dinegeri asal. wallahhualam. Sembahyang jumaat** pula ramai seperti biasa. Tidak seperti suatu masa dahulu apabila kita pernah menyambut hari raya yang jatuh pada hari jumaat. Masa itu memang sembahyang jumaat mesjid agak lengang.
*Mesjid besar Subang Jaya.
**Mesjid Kampong Sungai Karang, Kuantan.

Anonymous said...

Salaam...

Izinkan saya menambah sedikit. Jika hari raya jatuh pada hari jumaat, umat Islam tidak diwajibkan menunaikan solat jumaat jika sudah menunaikan solat sunat hari raya. Ini kerana matlamat keduanya adalah sama. Boleh rujuk Fiqh Sunnah karangan Syeikh Sayyid Saabiq.