Thursday, April 9, 2020

Pengalaman diambil 'throat and nasal swab' untuk Covid-19.

Peta Kompleks Klinik Ampangan, Seremban.

Saya tidak pergi ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban seperti niat saya semalam. Sebaliknya saya hubungi Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kementerian Kesihatan, Putrajaya pagi tadi. Telefon tidak dijawab, agaknya talian sibuk. Shukurlah WhatsApp dijawab.

Setelah menceritakan situasi, saya diarahkan menghubungi Pejabat Kesihatan, Seremban. Tetapi saya memutuskan untuk pergi terus ke pejabat itu. Sekuang-kurangnya ia membawa kembali kenangan saya pernah bekerja di situ pada tahun-tahun 1969 hingga 1971.

Saya tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan saya tidak membantah. Sebaliknya seorang pegawai keluar bertemu saya. Saya menceritakan situasi saya sambil menunjukkan gambar saya menghadiri mesyuarat di Rembau. Saya juga tunjukkan rekod WhatsApp saya dengan CPRC Putrajaya.

Seperti yang saya jangkakan, pegawai itu seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) lelaki merekodkan apa yang saya cakap. Dia juga menulis nama pesakit Covid-19 yang duduk semeja mesyuarat dengan saya di Kg. Pilin itu. Dia mengsyorkan supaya saya membuat 'throat and nasal swab' di satu fasiliti kesihatan yang akan dia beritahu tidak berapa lama lagi.

Belum sempat saya sampai ke rumah, PPKP itu menalipon saya dan minta saya pergi ke Klinik Kesihatan (KK), Ampangan, Seremban pada pukul 2.30 petang hari ini juga. Katanya lagi KK akan menghubungi saya tidak lama lagi.

Tidak lama kemudian seorang Jururawat KK Ampangan menalipon saya dan berkata akan mengirimkan saya satu peta. Saya jawab tak payahlah kirim peta sebab saya tahu di mana KK Ampangan itu. Dia jawab ini bukan peta lokasi, tetapi peta laluan kereta saya nanti, kerana 'swabbing' akan dibuat tanpa saya turun dari kereta. Untuk itu dia mahukan nombor dan jenis kereta saya. Saya pun terima peta seperti di atas. 

Saya sampai ke KK Ampangan pada pukul 2.20 petang dan terus diberi panduan laluan kereta. Tepat pukul 2.30 kereta di hadapan saya diarahkan masuk ke garaj bertanda merah dalam peta dan pemandunya di ambil 'swabs'. 

Selang beberapa minit tiba pula giliran saya. Sebenarnya semasa bekerja di Kementerian Kesihatan dulu saya pernah mengambil 'throat swab' dari kanak-kanak untuk mengawal penyakit 'diphteria'. Kali ini selain 'throat swab' melalui kerongkong, saya juga akan dilakukan 'nasal swab' melalui hidung. Betul kata pegawai yang mengambilnya, prosedur 'nasal swab' ada kesakitan sedikit.

Selesai membuat 'swabbing' saya diberi satu set borang untuk direkodkan situasi kesihatan saya selama 14 hari selepas ini. Saya dikelaskan sebagai PUI iaitu 'Patient Under Investigation'. Saya hanya berdoa kedua-dua 'swabs' saya didapati negatif dan kesihatan saya tidak berubah. 

Tahniah kepada staff Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang telah menjalankan tugas secara professional. 

1 comment:

MAHAGURU58 said...

Semoga negatif dengan izin Allah! Amin ya Rabb.